Saturday 16 March 2013

BREAKING NEWS : Bekas Peguam Akan Dedah Dokumen Sulit Anwar


Bekas pembantu kepada pasukan peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat membabitkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Yuktes Vijay, 25, mengesahkan beliau memiliki beberapa dokumen penting berkaitan kes tersebut.

Malah, peguam itu sekali lagi mencabar Anwar mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana banyak mendedahkan ‘cerita dalaman’ mengenai kes liwat menerusi dua pucuk surat tersebut bagi membolehkan dokumen berkenaan didedahkan di mahkamah.

Jelas Yuktes, tindakannya membuat pendedahan menerusi dua pucuk surat itu disebabkan tidak boleh lagi menerima permainan politik Anwar demi memastikan cita-citanya menjadi Perdana Menteri tercapai.

“Saya mengakui ada menyimpan beberapa dokumen penting berkait kes liwat itu dan sebagai pihak yang terlibat dalam pasukan peguambela Anwar, saya lebih tahu cerita sebenar. Tetapi apabila mereka mula membawa bapa Mohd. Saiful Bukhari, Azlan Mohd. Lazim ini, sudah melampau.

“Inilah bapa yang sebelum ini merayu supaya kes Mohd. Saiful dibawa ke Mahkamah Rayuan, tetapi kini mendakwanya sebagai konspirasi. Memang saya menyokong Anwar, tetapi bukan begini politik yang saya ingin saksikan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, Yuktes yang juga pembantu kepada peguam Sankara Nair dalam kes liwat itu bertindak menghantar dua pucuk surat kepada beberapa portal berita propembangkang dan mendedahkan beberapa ‘cerita dalaman’ yang sebelum ini dirahsiakan.

Menerusi surat itu, Yuktes mendakwa, Anwar tidak ada keberanian memberi keterangan di mahkamah, sebaliknya memilih tidak memberi keterangan secara bersumpah walaupun sepanjang masa mendakwa tidak diberi perbicaraan adil.

Selain itu, Yuktes turut mempersoal mengapa Mohd. Saiful Bukhari diberikan layanan cukup istimewa seperti bilik sendiri dan mengikuti Anwar ke luar negara sedangkan beliau hanyalah kakitangan baharu.

Dalam pada itu, adakah bersedia dituduh dibeli oleh UMNO ekoran pendedahan itu, Yuktes berkata, pihak yang berfikiran sedemikian diminta membuat kenyataan terbuka.

“Saya minta mereka membuat kenyataan secara terbuka supaya mudah diambil tindakan undang-undang. Bukan semua orang boleh dibeli dengan wang ringgit sebaliknya kesedaran ini timbul akibat perbuatan Anwar sendiri,” tegasnya. (UTUSAN)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...