Thursday 14 March 2013

HOT NEWS : Pencerobohan Haram & Kelakuan Kejam, Jamalul Kiram


KALAU takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Demikian juga adat berjuang. Cedera, luka atau terkorban adalah sunnahnya orang yang berjuang. Bahkan ia adalah cita-cita dan impian tertinggi orang yang beriman untuk terkorban. Rasulullah SAW bersabda maksudnya “Barangsiapa yang meninggal dan belum berperang serta belum berniat untuk berperang, maka ia meninggal berada di atas cabang kemunafikan.”

Agama Islam mengatur urusan umatnya meliputi segenap hal. Dari ceruk dapur, dalam kelambu ke urusan pentadbiran negara hinggalah ke aturan di medan perang. Firman Allah SWT, “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah Al-Baqarah: 190)

Adab dan aturan perang dijelaskan dalam banyak ayat Al-Quran. Demikian juga dalam kitab-kitab hadis. Kita akan temui sebuah bab khusus membicarakan tentang jihad dan peperangan. Bab Jihad ada dalam Sahih Al-Bukhari, Muwatta Imam Malik, Sunan Abu Dawud, Bulughul Maram Ibnu Hajar Al-Asqalani dan beberapa kitab hadis yang lain. Imam Muslim mencantumkan bab Jihad wa Siyar (Ekpedisi Ketenteraan). Manakala Imam al Bukhari mengkhususkan sebuah bab lain memuatkan kisah-kisah peperangan yang disertai Rasulullah SAW dalam bab ‘maghaazi’.

Ketika menerima berita beberapa aggota keselamatan gugur di Lahad Datu dan Semporna, tentunya kita bersedih. Namun atas iman kepada qada dan qadar Allah SWT yang menetapkan bahawa ajal mereka tertulis untuk mati di situ pada hari itu. Ini sudah dijelaskan oleh Allah SWT, “Katakanlah: “Sekiranya kamu berada di rumahmu, nescaya orang-orang yang telah ditakdirkan akan mati terbunuh itu keluar (juga) ke tempat mereka terbunuh.” Dan Allah (berbuat demikian) untuk menguji apa yang ada dalam dadamu dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hatimu. Allah Maha Mengetahui isi hati.” (Surah Ali Imran: 154)

Namun yang membangkitkan kemarahan dan bertambah kebencian kita ialah cara mereka memperlakukan mangsa dan mayat aggota yang terkorban. Yang masih hidup diseksa bahkan yang telah mati dianiaya dengan perbuatan yang tidak dapat kita gambarkan. Sehingga tidak sanggup dituliskan.

Dalam sebuah hadis dikisahkan Rasulullah SAW,  jika mengangkat komandan tentera atau angkatan perang, Baginda memberikan wasiat khusus agar bertaqwa kepada Allah SWT dan berbuat baik kepada kaum muslimin yang menyertainya. Kemudian Baginda bersabda: “Berperanglah atas nama Allah, di jalan Allah, perangilah orang yang kufur kepada Allah. Berperanglah, jangan berkhianat, jangan mengingkari janji, jangan memotong anggota badan (mayat), jangan membunuh anak-anak.

Nampaknya pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lebih dekat kepada sunnah Nabi SAW dan teladan para sahabat. Perang dan serang bukanlah pilihan pertama dalam ajaran Islam. Firman Allah SWT: “Sekiranya ada dua golongan dari orang-orang mukmin yang berperang maka hendaklah kamu damaikan di antara keduanya. Tetapi sekiranya salah satu dari keduanya bersikap melampau terhadap yang lain, maka perangilah golongan yang melampau itu sampai ia kembali kepada perintah Allah.” (Surah Al-Hujurat: 9)

Sebelum melancarkan serangan demi mempertahankan rakyat dan tanah air, beberapa tawaran rundingan dibuat kepada pihak penceroboh. Bahkan pihak keselamatan telah menggugurkan surat-surat tawaran dari udara menggunakan pesawat. Surat-surat ini ditulis dalam bahasa Sulu.


Sehinggalah akhirnya peluang, hemat dan diplomasi pihak keselamatan dimanipulasi sehingga ada yang dibunuh secara tragik. Sungguh tindakan penceroboh itu bacul dan tidak bermaruah. Untuk mengekang keganasan merebak sehingga ke orang awam, akhirnya tindakan tegas diambil dengan menggempur penceroboh dari udara dan darat setelah dikepung dari darat dan lautan.

Sehingga semalam lebih 50 orang telah berjaya ditumpaskan. Namun kita tidak mendapati mayat dan jenazah penceroboh itu diperlakukan sebagaimana mereka memperlakukan jenazah pihak keselamatan kita yang terkorban. Walaupun hakikatnya kelompok yang mengganas dan memberontak iaitu kelompok khawarij dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai iblis, anjing neraka dan seburuk-buruk makhluk yang terbunuh sebagaimana disebutkan dalam sabda Baginda: “Mereka adalah sejelek-jelek bangkai di bawah naungan langit, dan sebaik-baik orang yang terbunuh adalah orang yang dibunuh oleh mereka.”

Tindakan mengaib dan menzalimi mayat pihak keselamatan oleh penceroboh mengingatkan kita kepada apa yang dilakukan oleh pihak tentera bersekutu Amerika Syarikat terhadap mayat Saddam Hussein. Juga kekejaman pihak Syiah ke atas Ahlus Sunnah di Syria dan Iran. Bahkan mungkin lebih kejam dari itu sebagaimana kejamnya ahli sihir bernama Mona Fendi suatu ketika dahulu. Juga Itulah adalah adat dan tradisi orang Jahiliyah, mundur dan tidak bertamadun.

Sejarah Keganasan Kelompok Sesat dalam Islam

Namun sisi sejarah Islam punyai versi dan edisi tersendiri. Sejarah perkembangan Islam merakamkan munculnya kelompok sesat yang bertindak ganas dan melampau terhadap sesama umat Islam. Kejadian pembunuhan secara kejam sudah dicatat sejak zaman Khalifah Uthman Affan RA. Bahkan beliau sendiri wafat akibat tindakan kejam dari kelompok pemberontak dan pelampau Islam.

Ibnu Asakir meriwayatkan bahawa Kinanah Bisyr memukul rusuk dan ubun-ubun Uthman dengan tiang besi sehingga beliau tersungkur di sebelahnya. Lalu Saudan Humran Al-Murady memberikan pukulan lagi dan beliau pun terbunuh. Adapun Amr Hamiq melompat ke dada Uthman dan pada saat itu beliau menghembuskan nafas yang terakhir lalu ia menikam sembilan kali tikaman sambil berkata berkata: “Ada pun tiga tikaman aku lakukan kerana Allah SWT. Dan enam tikaman aku lakukan kerana dendam yang ada di dadaku.”
Yang dibunuh secara kejam sedemikian rupa bukan sembarangan manusia. Itu Uthman Affan yang terkenal di kalangan para sahabat sebagai seorang yang lemah-lembut dan amat pemalu. Bahkan para malaikat dan Rasulullah SAW sendiri malu dengan Uthman Affan. Beliau termasuk sahabat yang Nabi SAW janjikan syurga, yang menginfakkan sejumlah harta yang sangat banyak kepada agama, yang menghabiskan seluruh hartanya untuk negara kaum Muslimin. Manusia sebaik ini diperlakukan sedemikian rupa. Justeru apa harapan yang tersisa kepada pemimpin umat Islam pada hari?

Justeru selayaknya golongan yang memberontak dan mengganas ini ketika di atas dunia dilabel sebagai seburuk-buruk makhluk yang terbunuh di bawah naungan langit. Manakala nasib mereka di akhirat dikhabarkan menjadi anjing-anjing dalam neraka. Dan sebaik-baik orang yang terbunuh ialah yang dibunuh oleh mereka.



Oleh: MOHD RIDUAN KHAIRI
Ketua Biro Penerbitan, Pertubuhan Ilmuan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...