Tuesday 12 March 2013

PPD Lahad Datu Cadang Wujud Pusat Pembelajaran Sementara Di Felda Sahabat


Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Lahad Datu bercadang mewujudkan pusat pembelajaran sementara di Felda Sahabat, kira-kira 130 kilometer dari sini, untuk murid di kawasan zon merah jika Operasi Daulat berlarutan.

Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Lahad Datu Jummiah Tee berkata usaha itu dirancang bagi memastikan murid di tiga sekolah yang masih ditutup di daerah ini tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Beliau berkata bagaimanapun, keputusan untuk mengadakan pusat pembelajaran sementara itu bergantung kepada laporan keselamatan dan kebenaran pihak polis.

"Pihak PPD tidak dibenar memasuki kawasan Felda Sahabat, jadi kami telah meminta guru sekolah terbabit mengesan murid mereka kerana difahamkan bukan semua dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

"Kami tidak mahu ada yang tercicir dalam pelajaran jika operasi ini mengambil masa yang lama," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar berkaitan sekolah di Lahad Datu yang dibenar beroperasi semula.

Jummiah berkata seramai 997 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Buani, SK Tanjung Labian dan SK Fajar Harapan belum berpeluang meneruskan pembelajaran sejak sekolah mereka ditutup 4 Mac lepas.

Sementara itu, Guru Besar SK Lahad Datu 2 Kassah Masrah berkata pihak sekolah akan mengadakan kutipan pakaian dan peralatan sekolah untuk diderma kepada murid yang terjejas di Felda Sahabat. BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...